Thursday 27 March 2014

Noraini Cookies " Dari Industri Kampung Ke Persada Global "


Assalamualaikum dan salam sejahtera...

 
"Noraini Cookies"

26 Nov (Bernama) -- Dua puluh enam tahun lalu Noraini Ahmad merupakan seorang petugas firma insurans di siang hari dan menguruskan perniagaan bakeri Noraini's Cookies di rumahnya pada sebelah malam.

Beliau mengupah suri-suri rumah di kawasan kejiranannya untuk membantu membuat pelbagai kuih-muih tradisional Melayu dan konfeksi yang beliau kemudian bekalkan kepada kafeteria serta kantin sekolah. Perniagaan sampingan ini membolehkan beliau meraih purata pendapatan RM4,000 sebulan.

Bakat beliau dalam membuat kuih menarik perhatian seorang chef hotel yang kemudian menempah kuih-muihnya untuk hotel itu. Selepas itu, hotel-hotel utama lain, restoran serta pasar raya turut ikut serta. Produk Noraini juga menjadi juadah di konvensyen tahunan Umno di PWTC. Pada masa itu beliau mendapat pulangan sehingga RM20,000 sebulan.

Apabila beliau mula menerima tempahan bagi kuih-muih Melayu dan biskut untuk sambutan Hari Raya, Noraini membuat keputusan berhenti kerja dan menumpukan perhatian sepenuh masa kepada perniagaan.

BERALIH KEPADA KUIH MUIH MUSIM PERAYAAN

Pada 1994 Noraini melabur RM25,000 untuk memperbadankan Noraini Enterprise Sdn Bhd, yang membuat kuih-muih dan biskut khusus untuk musim perayaan di sebuah rumah kedai berdekatan pasar malam Paya Jaras di Sungai Buloh.

Produknya boleh dikatakan dibekalkan kepada hampir semua penjual tepi jalan di Jalan Chow Kit dan Jalan Tuanku Abdul Rahman setiap Ramadan. Syarikat ini mencatatkan pulangan sebanyak RM70,000 di musim perayaan pertamanya.

Perniagaan beliau terus meningkat maju dan pada 1997 kilang syarikatnya berpindah ke Kampung Sungai Pelong di daerah Petaling. Bagaimanapun, tidak sampai setahun kemudian perniagaannya dilanda musibah akibat kegawatan ekonomi. Jualan merudum teruk. Noraini terpaksa bertungkus-lumus untuk menyelamatkan perniagaannya tetapi akhirnya operasi syarikat terhenti sementara.

Bagaimanapun, di sebalik musibah ini muncul pula peluang baru. Untuk mencari rezeki hidup, Noraini membuka sebuah gerai di Plaza Angsana di Johor Baharu yang menjual kuih muih dan konfeksi. Usaha beliau ini menerima sambutan baik dengan hasil jualannya mencecah hampir RM1,000 setiap hari.

Selama empat tahun yang berikut perniagannya itu terus meningkat maju dan ia turut membabitkan sebuah restoran khusus menjual pelbagai jenis laksa dan masakan Melayu tradisional. Sementara itu, kilang cookies dan biskut di Selangor kembali beroperasi. Kedua-dua perniagaan berkembang pesat - kilang ini menyaksikan pulangan RM150,000 setiap musim sementara perniagaan di Johor Baharu diperluas kepada 17 buah gerai meliputi seluruh Lembah Klang dan juga sehingga Ipoh.



MENGORAK LANGKAH KE PERSADA GLOBAL

Bagaimanapun hasil bulanannya tidak lagi meningkat memandangkan pasaran tempatan sudah tepu. Beliau kemudian memutuskan untuk menceburi perniagaan di luar negara. Pada 2004 beliau menubuhkan Noraini Cookies Worldwide Sdn Bhd dan menjenamakan produknya selain memasarkannya dalam bungkusan yang lebih menarik bersama logo rasmi syarikat.

Pihak pengurusan syarikat mengambil bahagian dalam pelbagai program latihan, dan kempen promosi perniagaan tempatan dan antarabangsa yang dianjurkan oleh agensi kerajaan seperti Mara, MeCD, Fama, dan Konsortium Usahawan Makanan dan Industri Asas Tani Sdn Bhd (Komita).

Syarikat ini turut menyertai pameran antarabangsa seperti MAHA, MIHAS dan acara yang dianjurkan oleh Malaysia Trading House di United Kingdom, produk beliau menembusi pasaran Singapura, Brunei, Laos, Myanmar, Kemboja, Vietnam, United Kingdom, Mauritius, Afrika, Nigeria, Mahgribi dan Dubai.

Nasib menyebelahi usahawan yang bertekad tinggi ini, dan pada sesi sepadanan perniagaan MIHAS 2006, seorang perwakilan dari Kazakhstan menunjukkan minat untuk menjalin usahasama. Ini membawa kepada sebuah usahasama dikenali sebagai Atamekent Noraini, yang mempunyai pelaburan dalam pengeluaran makanan, ladang tenusu dan gandum, serta perniagaan hotel dan restoran di Kazakhstan. Restoran Astana Nura menawarkan pelbagai laksa Malaysia kepada warga Kazakhstan.

Sementara itu, berbalik ke Malaysia, jualan bermusim mencecah RM1.5 juta pada 2007 dan seterusnya meningkat kepada RM2 juta pada musim berikutnya. Banyak tempahan baru dan tempahan berulang diterima yang bermakna pengeluaran perlu dipertingkat dan memerlukan sebuah permis perniagaan yang lebih besar serta peralatan yang lebih baik. Oleh itu pada 2008, syarikat Noraini's Worldwide Cookies milik Noraini memperoleh sebuah lot kilang dua tingkat dan sebuah ketuhar automatik sepenuhnya.

"Walaupun ketuhar kami boleh menghasilkan tiga tan biskut setiap hari, kami kini beroperasi pada separuh kapasiti memandangkan kami kekurangan petugas pengeluaran," kata Pengarah Urusan dan CEO Kumpulan Dr Helmee Effendee yang juga merupakan anak sulung Noraini.

Worldwide Cookies milik Noraini merupakan antara sembilan perusahaan makanan Malaysia yang dijemput oleh Matrade untuk mempamer produknya pada `2010 New York Fancy Food Show(NYFFS), Jun lepas.

Pada acara tiga hari itu yang merupakan pintu terbaik ke pasaran Amerika Syarikat, syarikatnya menerima banyak pertanyaan daripada peniaga dari daerah Chinatown di New York, selain daripada Asia Barat, Kanada, Panama dan Jordan, yang mencari sumber produk makanan halal bagi pasaran masing-masing. Noraini kini berusaha untuk memastikan pertanyaan ini berakhir dengan tempahan.

CONTOH BAIK BAGI USAHAWAN BUMIPUTERA

Hajjah Noraini merupakan contoh baik bagaimana usaha gigih; yang diperkuat dengan komitmen dan dedikasi berterusan; dan dilengkapi dengan pandangan jauh, inovasi serta penyesuaian; usahawan dengan jati diri yang tinggi boleh menukar perasaan minat kepada wawasan dan seterusnya memastikan segala usahanya berhasil.

Berdasarkan pencapaian cemerlangnya, Dewan Perniagaan Melayu memberikan 'Anugerah Usahawan Warisan 2006' kepada beliau.

Hajjah Noraini turut memenangi 'Anugerah Usahawan Berdaya Maju MIHAS 2007' dan juga Pingat Gangsa daripada Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI) pada 2007 di bawah kategori 'Penjenaman Usahawan Malaysia bagi Pasaran Eksport'.

Laluan beliaui yang penuh onak, duri dan ranjau daripada industri kampung ke penggiat global dicatatkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia(MPC) dalam terbitannya bertajuk 'Case Book on Transformation, Innovation and Partnership'. Buku ini menjadi bahan rujukan bagi para usahawan baru Bumiputera.

KUMPULAN SYARIKAT NORAINI

Selain daripada perkongsian bersama Kazakhstan, kumpulan syarikat Noraini kini terdiri daripada Noraini's Enterprise Sdn Bhd (anak syarikat di bawahnya Noraini's Fresh Baked, Noraini's Laksa Paradise dan Noraini's Noodles; Noraini's Cookies Worldwide Sdn Bhd (bersama operasi secara perkongsian di Pulau Batam dan Bandar Raya Ho Chi Minh); Noraini's Marketing Sdn Bhd; Noraini's Farm House Sdn Bhd; Noraini's Frozen Food Sdn Bhd; Noraini's Food and Beverage Sdn Bhd; dan Magnificent Solution, yang merupakan sayap penyumberan luar Kumpulan.

Dalam memastikan produknya daripada kualiti tertinggi, Noraini's Worldwide Cookies berpegang kepada moto pengasas: Tiada bahan aditif; Organik; Diiktiraf Di peringkat Antarabangsa; Proses Perkilangan Canggih; Produk Islam; Berkhasiat; Resipi Lebih Baik; dan Keselamatan Terjamin.

* Noraini's Worldwide Cookies merupakan antara 2,000 usahawan asas tani dari 22 negara yang sedang mempamer produk serta khidmat masing-masing pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA 2010) yang bermula hari ini dan akan berakhir pada 5 Dis.


 
 
 
 

Tuesday 18 March 2014

Noraini Cookies Bakal Mengembangkan Perniagaan Ke 3 Buah Negara Lagi

Noraini perluas pasaran eksport biskut
Nama Noraini tidaklah begitu menarik atau dengan kata mudah tiada nilai komersial untuk dijadikan sebuah jenama.

Namun, kepercayaan dan prinsip menjadikan jenama Noraini bualan di setiap bibir penggemar biskut Noraini’s sehingga ke hari ini.

“Saya percaya, saya juga boleh berjaya seperti orang lain. Saya tidak nampak kekurangan menggunakan nama sendiri yang dikatakan tiada nilai komersial. Malah saya yakin kejayaan pasti akan datang,” katanya.

Hampir 30 tahun dalam dunia perniagaan, Noraini yang terkenal dengan produk Noraini’s Cookies terus mengorak langkah dan bakal menerokai tiga negara lagi bagi pasaran eksport biskutnya iaitu Jepun, Jeddah dan Afrika.
“Sehingga ini kami mengeksport biskut ke 10 buah negara, antaranya Singapura, Brunei, China, Dubai, Papua New Guinea, Maldives, China dan Kemboja.

“Walaupun terdapat beberapa buah negara lain yang menawarkan minat terhadap produk kami, tumpuan hanya diberikan kepada syarikat yang benar-benar serius menjalinkan hubungan perniagaan,” katanya.

Selain daripada perniagaan biskut, Noraini turut perluaskan jenamanya dengan memperkenalkan beberapa produk lain termasuk bubur segera dan kopi dan pes masakan.


Tidak lokek bantu usahawan

Pengalaman, kejayaan dan jatuh bangunnya perniagaan diusahakan Noraini, turut dikongsi bersama usahawan yang lain.

Bahkan Noraini sentiasa mengalu-alukan mana-mana pihak yang memerlukan khidmat nasihatnya.

“Saya sentiasa mengadakan perbincangan mengenai perniagaan secara keseluruhannya, bertukar pendapat dan berkongsi pengalaman. Ada kalanya saya menjenguk perniagaan rakan lain yang memerlukan nasihat dan tunjuk ajar.

“Di sini (syarikat) saya juga menerima kunjungan lawatan dari pelajar sekolah, penuntut universiti juga kalangan profesional yang ingin berkongsi cerita perniagaan saya.

“Matlamat saya hanya satu, ingin membantu usahawan terutama golongan Bumiputera untuk sama-sama mengecap kejayaan,” katanya.
 

Noraini Cookies Menjalinkan Kerjasama Dengan Koperasi

 
Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan..
 
Begitulah perniagaan yang diusahakan oleh Puan Noraini terus berkembang.
 
 
Produk makanan yang dikeluarkan oleh koperasi berpotensi untuk dikembangkan. Bagaimanapun untuk memastikan ia diterima beberapa aspek perlu dipertimbangkan terutama dari segi produk itu sendiri. Produk perlu berkualiti, kemasan dari segi pembungkusan, aspek pemasaran serta aspek pelabelan jangan dipandang ringan.

Jadi koperasi ingin terlibat menghasilkan barangan makanan, mereka perlu mempunyai pengetahuan mendalam mengenai produk yang dihasilkan. Itu yang diluahkan Pengarah Noraini Cookies Worldwide Sdn Bhd, Puan Noraini Ahmad.


Pada Hari Koperasi Negara (HKN) di Kedah tahun lalu, Noraini Cookies sudah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) untuk membekalkan biskut susu dan biskut coklat untuk Coop 1Malaysia. Majlis MoU itu turut disaksikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hasan Malek.

MoU itu ditandatangani antara Noraini Cookies dengan Koperasi Jaringan Sepadu Malaysia Berhad (KOJARIS). KOJARIS adalah salah sebuah koperasi yang mendapat sokongan kewangan daripada PEMANDU untuk mengeluarkan produk berjenama Coop 1Malaysia serta mengedarkan kepada pengguna menerusi Pusat Pengedaran (DC).

Noraini berkata, beliau berasa gembira kerana produknya akan diedarkan pada kedai Coop 1Malaysia dan berharap lebih banyak produk koperasi dapat dipasarkan di situ.

"Saya melihat institusi koperasi itu cukup baik. Saya juga bersedia mencurahkan ilmu mengenai penghasilan produk makanan sekiranya koperasi berminat," katanya ketika ditemui di kilangnya di Taman Pinggiran Subang, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Beliau sebenarnya memulakan perniagaan secara kecil-kecil. Ketika masih bekerja turut berniaga kain ela dan pinggan mangkuk. Selepas berhenti kerana ketiadaan pembantu rumah, Noraini tercari-cari kerja yang boleh dilakukan untuk mencari sumber pendapatan.

"Saya mula dengan membuat nasi lemak, bihun goreng dan kuih-muih untuk dibawa ke pejabat suami. Pada masa itu tidak terlintas langsung untuk berkembang pesat. Semuanya bermula selepas seorang teman suami memberi rasa kuih tradisional saya kepada seorang chef di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor. Selang beberapa hari, chef tersebut mahu saya bawa beberapa contoh kuih.

Pada 1984, Noraini Enterprise ditubuhkan dan syarikatnya membekalkan kuih-muih kepada 14 hotel sekitar Lembah Klang. Semua proses menghasilkan kuih pada masa itu dilakukan di belakang rumah dengan bantuan 14 pekerja," katanya.

Noraini berkata, beliau terbabit menjual kuih raya pada 1992. Tahun pertama, beliau sudah nampak pendapatan yang diperoleh tetapi apabila masuk tahun kedua, nampak ketidakmampuan menyiapkan tempahan yang diterima. Biskut yang dihasilkan mendapat sambutan baik. Bermula dengan dua biskut, lama-kelamaan berjenis-jenis biskut yang dihasilkan.

Mulai saat itulah saya berhijrah kepada bisnes biskut. Jadi untuk masuk ke pasar-pasar raya serta membina keyakinan pelanggan diwujudkan syarikat dan Noraini Cookies mula bekalkan beberapa jenis biskut kepada pasar raya, pasar malam dan pasar Ramadan.

Bila kegawatan melanda negara, Noraini beralih menjual kuih baulu, kek dan kedai pertamanya ialah di Angsana, Johor Bahru. Untuk memasuki pasaran yang lebih besar, pada 2004 ditubuhkan Noraini Cookies Worldwide Sdn Bhd.

Beliau gembira kerana ahli keluarganya banyak terbabit dalam perniagaan Noraini Cookies. Tugasnya sekarang mencari pasaran dan terbaru produk keluarannya bakal dipasarkan di Mekah.

"Saya melihat pasaran di Mekah itu cukup besar. Selama ini banyak produk makanan dari negara jiran yang memasuki Mekah. Saya juga berharap produk koperasi dapat dipasarkan ke sana," katanya yang pernah memasarkan produknya ke negara China.

Selain biskut, produk terbaru Noraini Cookies yang diterima ramai ialah nasi bubur.
 

Saturday 15 March 2014

Visi dan Misi Sebagai Panduan Perjalanan Usahawan

 
 
Tahun 2014 merupakan tahun yang dijangka penuh dengan cabaran dan rintangan kerana berlakunya peningkatan kos-kos yang melibatkan produk dan servis asasi kehidupan seperti kenaikan petrol, tarif elektrik, gula dan sebagainya.
Sebagai seorang usahawan, kesan kenaikan kos-kos tersebut sudah pasti sedikit sebanyak akan mengubah perjalanan perniagaan yang telah dirancang sebelum ini.
Mungkin besar kesannya kepada beberapa perniagaan tertentu yang berkait secara langsung dengan kenaikan tersebut. Contohnya, para usahawan dalam bidang makanan dan pengangkutan.
 
Perantis Donal Trump
 
Apabila berlaku perkara sebegini, visi dan misi yang telah ditetapkan akan memainkan peranan penting untuk meneruskan kelangsungan perniagaan dan kehidupan.
Visi dan misi yang telah dibuat oleh usahawan akan menjadi kemudi yang akan membantu usahawan meneruskan pelayaran walau apa pun badai dan rebut yang melanda.
Persoalannya, adakah sudah anda menetapkan dan menulis visi dan misi keusahawanan anda? Pada penghujung artikel yang lepas iaitu TRUMP: Transformasi Realistik Usahawan Membangunkan Perniagaan, saya meninggalkan persoalan berikut untuk tindakan bersama:
“Sehingga masa itu, sudahkah anda menetapkan visi dan misi perniagaan anda secara bertulis?”
Hasilnya, saya menerima banyak mesej di facebook saya bertanyakan soalan-soalan berkenaan visi dan misi keusahawanan. Antara persoalan yang dilontarkan dalah seperti berikut:
  1. Apakah perbezaan visi dan misi keusahawanan?
  2. Bagaimana ingin membuat penetapan visi dan misi keusahawanan?
  3. Mengapa begitu penting untuk menetapkan dan menulis berkenaan visi dan misi keusahawanan?
  4. Apakah keuntungan yang diperolehi oleh seseorang usahawan dengan menetapkan visi dan misi?
Untuk persoalan pertama, perbezaan antara visi dan misi. Firma kami iaitu NazriKadir Premier Advisor membezakannya seperti jadual di bawah.
 
Visi dan Misi Usahawan

Jadual Kepimpinan Usahawan dan Perniagaan NazriKadir Premier Advisor.

VISI
MISI
1. Menetapkan ke mana dan di mana anda atau perniagaan anda ingin pergi dan berada.
Penetapan ini biasanya berkaitan dengan tujuan anda menjalankan perniagaan itu atau berdasarkan kepada keperluan pelanggan dan pasaran.
1. Menetapkan bagaimana anda dapat pergi dan berada di tahap yang ditetapkan.
Serta menyatakan sebab mengapa anda memilih jalan itu.
2. Soalannya ialah :
-Ke mana kita ingin pergi?
2. Soalannya ialah :- Bagaimana kita ingin pergi?
3. Masanya ialah : Berkenaan masa hadapan 5 tahun ke atas.3. Masanya ialah : Dari sekarang hingga 5 tahun.
4. Perubahan : Perubahan tidak seharusnya berlaku. Jika perlu perubahan,Ianya harus minimum dan perubahan sewajarnya dilakukan untuk peringkat masa yang seterusnya pula.4. Perubahan : Perubahan boleh dilakukan dari segi segmentasi pasaran, pengurusan modal, pembangunan penjenamaan dan sebagainya

Untuk kefahaman selanjutnya tentang visi dan misi usahawan. NazriKadir Premier Advisor merumuskan dalam jadual berikut :

Anak Panah Visi & Misi - Premier Advisor

Anak Panah Visi & Misi: Premier Advisor

Berdasarkan Anak Panah Visi & Misi: Premier Advisor dan Jadual Kepimpinan Usahawan & Perniagaan Premier Advisor, para usahawan sudah pasti dapat memulakan gerak kerja menetapkan misi dan visi keusahawanan mereka.
Artikel seterusnya akan menerangkan tentang perbezaan antara Pengurusan dan Kepimpinan seperti yang terdapat dalam anak panah di atas.Kefahaman tentang ini, akan membolehkan para usahawan memimpin perniagaan dengan mereka dengan lebih. Insha Allah. 
 

Tabung Usahawan Siswazah (TUS)

Assalamualaikum dan Salam sejahtera...
 
 
Sejumlah RM50 juta dana pinjaman mudah di bawah Tabung Usahawan Siswazah (TUS) yang dikhususkan kepada siswazah muda untuk memulakan perniagaan, akan diagihkan sepenuhnya pada separuh pertama 2014.

Justeru, SME Bank, iaitu bank yang dipertanggungjawabkan kerajaan untuk menguruskan dana itu, akan mula menyalurkan dana berkenaan kepada siswazah yang layak secara berperingkat-peringkat mulai bulan ini.
 
Ketua Pegawai Operasi SME Bank, Datuk Kamaluddin Ismail, berkata setakat ini, maklum balas yang diterima pihaknya berhubung TUS amat menggalakkan dengan hampir tujuh juta permohonan diterima.


“Kita mengalu-alukan lebih ramai lagi siswazah memohon dana itu dan kami terbuka dan terima mana-mana permohonan perniagaan yang berdaya maju. Jika semuanya tidak ada masalah, kami mahu menyelesaikan agihan dana itu dalam separuh pertama 2014 ini,” katanya kepada BH.


Inisiatif kerajaan

TUS yang menyediakan pembiayaan mudah hingga RM500,000 dengan kadar faedah empat peratus setahun itu adalah antara inisiatif kerajaan yang diumumkan dalam Bajet 2014 bagi memastikan pembangunan usahawan di negara ini.
Ia juga diperkenalkan bagi mengurangkan pengangguran dalam kalangan lepasan universiti dan menggalakkan mereka menceburi bidang keusahawanan selepas tamat pengajian.

Selain itu, dana itu juga bertujuan membantu meningkatkan lagi pembabitan Bumiputera dalam perniagaan dan keusahawanan bagi menjana pendapatan dan kekayaan.

Kamaluddin berkata, pihaknya yakin pinjaman mudah itu mampu menarik lebih ramai golongan belia menceburi bidang perniagaan, sekali gus dapat mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan siswazah.

“Kebanyakan permohonan yang diterima SME Bank bagi dana TUS setakat ini membabitkan pelbagai segmen perniagaan, khususnya makanan dan minuman, pendidikan, perniagaan menerusi internet dan lain-lain,” katanya.

Kemudahan dana

Difahamkan, antara ciri kemudahan dana yang disediakan di bawah TUS itu merangkumi had pinjaman yang bermula dari RM20,000 hingga maksimum RM500,000 untuk digunakan bagi membiayai keperluan harta tetap atau modal kerja projek perniagaan, atau kedua-duanya.

Ia membabitkan tempoh pembiayaan maksimum hingga 10 tahun (tidak termasuk bangunan) dan 20 tahun (untuk bangunan atau premis perniagaan) dari tarikh pengeluaran wang pertama.

Siswazah yang layak mendapat dana itu juga akan turut ditawarkan tempoh pengecualian bayaran balik pinjaman maksimum hingga 48 bulan.

Selain itu, penjamin tidak diperlukan bagi pembiayaan bangunan atau premis perniagaan atau pembiayaan modal kerja hingga RM100,000, manakala untuk pembiayaan melebihi RM100,000 pula, penjamin hanya menjamin sebanyak 20 peratus daripada jumlah baki pinjaman.
 

Tengku Rozidar Tengku Zainal Abidin - Usahawan Hotdog

Assalamualaikum dan Salam 1 Malaysia...

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan kuasaNYA menurunkan hujan setelah sekian lama kita menghadapi keadaan cuaca yang panas dan kering. Suasana petang ini yang redup dan hujan yang membasahi bumi ini tidak mematahkan semangat saya untuk terus menulis berkongsi maklumat dengan anda semua. Bersemangat untuk saya meneruskan penulisan di ruangan ini meskipun cuaca sebegini lebih mendorong saya melelapkan mata.

Kali ini, saya ini berkongsi berkaitan salah seorang usahawan yang mengusahakan perniagaaan hot  dog di Malaysia. Saya mendapati ramai dalam kalangan masyarakat hari ini gemar menikmati keenakan hot dog tanpa mengira peringkat umur. Sebenarnya, makanan ringan berupa hot dog ini amat sinonim dengan negara Amerika Syarikat (AS). Namun, sekarang semuanya dapat diperoleh dengan mudah oleh rakyat Malaysia kerana wujudnya perniagaan berasaskan penjualan hot dog ibarat cendawan yang tumbuh selepas hujan di Malaysia. Usahawan yang bijak mengambil peluang ini ialah Tengku Rozidar Tengku Zainal Abidin. Beliau merupakan usahawan yang mempopularkan makanan hot dog di Malaysia.
 

Faktor pemilihan Tengku Rozidar Tengku Zainal Abidin bagi mengisi ruangan blog saya kali ini adalah kerana saya amat mengagumi ketabahan dan semangat yang ditunjukkan oleh beliau dalam memastikan perniagaan yang diusahakan berjaya. Bukan mudah sebenarnya untuk menguruskan perniagaan yang dibina ditambah pula dalam memastikan produk yang dihasilkan  mendapat tempat di hati pelanggan. Selain itu, idea perniagaan untuk melibatkan diri dalam perniagaan ini amat menarik memandangkan hot dog belum dihasilkan secara meluas di negara ini. Boleh dikatakan beliau dan suami bijak mengambil peluang yang tercipta di depan mata. 
 
Sebelum kita mengetahui dengan lebih lanjut berkaitan perniagaan yang dijalankan oleh beliau, baiklah sekiranya kita mengenali diri beliau terlebih dahulu. Tengku Rozidar Tengku Zainal Abiin berumur dalam lingkungan 40an. Beliau merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sastera Inggeris dan juga Ijazah Pendidikan dalam Pengajaran Bahasa Inggeris. Beliau seterusnya menyambung pengajian dalam bidang Sarjana dalam Hubungan Antarabangsa dari sebuah university di Britain. Beliau sebelum itu merupakan bekas pelajar Sekolah Seri Puteri. Beliau juga amat berbakat dalam dunia penyiaran kerana sebelum bergelar usahawan, beliau pernah berkhidmat sebagai wartawan penyiaran dan penyampai berita di RTM dan TV3. Selain itu, beliau juga pernah bertugas selaku penyelaras projek diBerjaya Group Sdn. Bhd dan merupakan salah seorang tutor di Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau mempunyai dua orang anak iaitu Haziq Azizi dan Tareef Iman Azizi hasil perkahwinan beliau bersama Ahmad Zakir Jaafar.



Setiap usahawan pasti mempunyai kisah di sebalik penglibatan mereka di dalam dunia perniagaan. Begitu juga yang berlaku kepada Tengku Rozidar. Idea perniagaan beliau ini tercetus ketika beliau dan suami bertembung dengan gerai bergerak hot dog semasa  menunggu penerbangan balik di Lapangan Terbang Antarabangsa Chicago. Pada ketika itu, Tengku Rozidar telah memperoleh lesen perniagaan pertamanya iaitu untuk perniagaan francais Candy Bouquet. Namun, kehadiran beliau ke AS untuk mengikuti latihan bagi perniagaan francais Candy Bouquet telah membuahkan idea perniagaan baru. Memandangkan beliau dan suami sedar bahawa Malaysia tidak mempunyai rangkaian syarikat makanan segera iaitu hot dog sebagai produk utamanya, beliau merebut peluang tersebut dengan sebaiknya. Hai ini demikian kerana, perniagaan tersebut tidak memerlukan modal permulaan yang besar memandangkan penjual hanya perlu berniaga dengan menggunakan kereta tolak atau kereta bergerak yang kecil.

Perniagaan Tengku Rozidar diberi nama " Hot dogs 1901 ". "1901" merupakan tahun yang dipilih hasil persepakatan beliau dan suami bersempena dengan tahun yang dianggap bermulanya tema hot dog oleh seorang kartunis sukan AS di New York Polo Ground. Perniagaan hot dog menggunakan kereta tolak  merupakan sebahagian daripada budaya Amerika. Tengku Rozidar telah mengambil keputusan untuk memulakan perniagaan hot dog tersebut dari awal hanya bermodalkan RM100, 000 berbanding menyertai skim francais hot dog AS. Berikutan kejayaan beliau dalam perniagaan hot dog, beliau telah menjual perniagaan Candy Bouquet.

Perniagaan ini sangat menarik kerana hadirnya  kiosk kecil atau kereta kecil yang berwarna hitam dan merah yang membawa jenama 1901. Tetapi apa yang menarik perhatian saya ialah Tengku Rozidar yang menyediakan sendiri resepi sosej, sos dan bahan tambahan yang menjadi identiti 1901. Beliau turut mengeluarkan roti ban daging salai New Zealand atau sosej ayam yang bebas antibiotik dengan perisa cuka. Resipi tersebut juga amat diminati oleh Tengku Rozidar.


Perniagaan Tengku Rozidar telah berkembang dengan baik walaupun adakalanya dilanda badai. Seperti kata pepatah " Jangan berumah di tepi pantai jika takut dilanda badai". Pepatah ini amat sesuai menggambarkan sikap Tengku Rozidar yang tidak takut gagal meskipun perniagaannya juga dilanda permasalahan. Beliau turut mengalami pengalaman terpaksa  menggadaikan barang kemas dan kereta mewah kerana ingin melangsaikan segala hutang demi meneruskan perniagaan yang diusahakan oleh beliau. Beliau turut mengalami keadaan getir dalam dunia perniagaan yang sentiasa ada turun naiknya apabila cawangan beliau di Singapura dan Indonesia terpaksa ditutup. Menurut Tengku Rozidar, sukar sebenarnya untuk mengendalikan cawangan di luar negara kerana dalam masa yang sama beliau harus memantau semua cawangan di Malaysia. Namun, paling memeritkan lagi bagi beliau ialah apabila beliau terpaksa memberhentikan sejumlah pekerja demi menguncupkan perbelanjaan kewangan. Hal ini demikian kerana, ketika itu dia berdepan dengan masalah pekerja yang tidak jujur terutamanya yang melibatkan hal kewangan.



Tengku Rozidar mengakui beliau amat tegas semasa bekerja. Menurut beliau lagi, beliau mahukan 1901 terus memberikan perkhidmatan makanan segera yang berkhasiat lagi halal untuk rakyat di negara ini. Tengku Rozidar akan bertemu dengan semua francaisor 1901 dari semasa ke semasa bagi memastikan semua francaisor di bawah seliaan beliau berjaya. Pada tahun 2011, 1901 mempunyai 48 cawangan dan akan bertambah dari semasa ke semasa. Tengku Rozidar merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1901 yang bertanggungjawab menguruskan operasi dan pertumbuhan syarikat berkenaan manakala suami beliau bertindak sebagai Pengarah Eksekutif 1901.



Demikianlah perkongsian saya tentang usahawan yang telah berjaya dalam mengusahakan perniagaan yang berasaskan hot dog sebagai produk utamanya. Seorang usahawan yang berjaya tidak pernah mengenal erti putus asa sebaliknya menganggap kesulitan yang dialami sebagai pendorong untuk meletakkan perniagaan yang diusahakan berada di tahap yang dikehendaki.
Sekian...

Sumber : Berita Harian 



 

Friday 14 March 2014

Jutawan Senyap


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera ...

Kek lapis Sarawak??? Adakah anda semua menyukai kek lapis Sarawak ini... Saya sememangnya amat menggemari kek lapis Sarawak. Oleh itu, saya gemar untuk mengetahui siapa yang berusaha keras menghasilkan kek lapis ini di sebalik kesedapan yang kita rasainya apabila menjamah kek tersebut. Bagaikan tidak lengkap sekiranya kita ke Kuching, Sarawak tanpa membeli dan membawa pulang kek lapis Bumi Kenyalang ini.
 
Jadi di ruangan kali ini saya ingin berkongsi mengenai salah seorang usahawan kek lapis yang berjaya di Sarawak.  Kek lapis yang saya maksudkan ialah KEK LAPIS DAYANG SALHAH.
 
Usahawan Kek Lapis ini ialah Dayang Salhah Awang Weldan. Beliau berumur 51 tahun. Dayang Salhah mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Gersik, Petra Jaya, Kuching dan menamatkan pelajaran hingga ke peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Abang Haji Openg, Petra Jaya.
 
 
Saya memilih Dayang Salhah untuk dikongsikan di ruangan ini ialah kerana bagi saya walaupun tidak mempunyai pendidikan formal yang tinggi, namun ia tidak menjadi penghalang untuk seseorang itu untuk berjaya. Beliau hanya belajar selok-belok perniagaan daripada ibu beliau yang berniaga kuih. Beliau telah terlibat secara aktif dalam dunia perniagaan ini sejak kecil lagi walaupun hanya sekadar perniagaan kecil-kecilan. Hal ini demikian kerana, beliau rajin membantu ibunya membuat kuih-muih selain berniaga secara kecil-kecilan berhampiran dengan rumah mereka di Kampung Gersik, Petra Jaya.
 
Dayang Salhah memulakan perniagaan menjual kek Sarawak sekitar tahun 1997 secara kecil-kecilan di rumah. Pada ketika itu, beliau mempunyai 10 orang tenaga kerja yang terdiri daripada ahli keluarga dan sanak saudara. Pada Ogos 2002, Dayang Salhah telah menyertai Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuching. Melalui penglibatan beliau di dalam PPK ini, beliau banyak mendapat nasihat, bimbingan dan juga bantuan kewangan.

 
 
 
 
Tanggal 19 Mei 2006, Dayang Salhah telah menubuhkan syarikatnya sendiri yang dikenali sebagai Dayang Salhah Enterprise. Prinsip yang dipegang oleh beliau ialah tidak mudah berasa selesa dengan kedudukan sedia ada sebaliknya sentiasa berfikir ingin memajukan perniagaan yang dibangunkan beliau. Dayang Salhah menjalankan perniagaan pembuatan makanan iaitu kek dan biskut dengan menggunakan jenama sendiri. Beliau menumpukan ke arah pengeluaran kek lapis Sarawak dan swiss roll. Menurut Dayang Salhah, teknik pembuatan kek lapis tidak semudah seperti yang disangka orang ramai. Hal ini demikian kerana, pembuat kek perlu kreatif dalam menentukan corak dan mempunyai kesabaran yang tinggi dalam menghasilkannya. Selain itu, kek lapis tersebut perlu dibakar dengan sempurna bagi menjaga kualitinya.
 
Dalam usaha mengembangkan perniagaan beliau, Dayang  Salhah telah mempunyai tenaga kerja seramai 160 orang yang rata-ratanya mempunyai kepakaran dalam menghasilkan kek lapis. Beliau tidak mempunyai strategi pemasaran sebalikya lebih memberikan tumpuan dalam aspek kualiti kek lapis terutamanya dari segi rasa. Seterusnya, beliau telah berjaya membuka dua buah kilang lagi. Kilang yang dimaksudkan saya terletak di Demak Laut Industrial Estate dan di SMI Industrial Park, Demak Laut.  Dayang Salhah turut menyediakan ruang pameran dan jualan yang luas untuk para pengunjung memilih 63 jenis kek iapis yang dijual oleh beliau. Di samping itu, antara keistimewaan yang  Dayang Salhah sediakan ialah beliau memberi peluang kepada pengunjung  untuk melihat sendiri proses penghasilan kek lapis Sarawak yang sentiasa ditambah baik kualiti dan jenis kek yang dihasilkan. Dayang Salhah turut mengadakan perkhidmatan penghantaran terus tempahan kek ke destinasi yang dikehendaki pelanggan dan pelancong.



 
Perniagaan mana yang tidak dilanda badai. Dayang Salhah turut menghadapi rintangan dalam perniagaan yang diusahakan beliau. Jualan kek lapis yang diusahakan jatuh merudum akibat pengisytiharan mentega Golden Churn Creamy Butter tidak halal walaupun beliau tidak menggunakan mentega tersebut dalam pembuatan kek lapis. Kerugian besar yang dialami besar langsung tidak mematahkan semangat Dayang Salhah sebaliknya beliau tidak cepat mengalah dan berputus asa dengan hanlangan yang menimpa. 
 
Sumber : Kosmo dan Utusan Melayu
 
 

Thursday 13 March 2014

Antara Imej dan Malu

Assalamualaikum... dan salam 1 Malaysia... <3

Hari ini suka untuk saya berkongsi tentang antara tip perniagaan untuk menjadi salah seorang usahawan. Malu???
Adakah sebagai usahawan, kita patut mempunyai perasaan malu? Memang perlu untuk kita mempunyai perasaan malu itu tetapi harus kena pada tempatnya...
 
Sebagai bakal usahawan ataupun kepada yang sudah bergelar usahawan, saya pasti perasaan malu dalam mendepani dunia perniagaan ini harus kita kikis dalam diri kita... Betul atau tidak ??? 
 
Di sini saya ada kongsikan antara tip dalam bidang perniagaan yang perlu kita titik beratkan.. Bersama-samalah kita ambil manfaat hasil daripada apa yang saya kongsikan ini...
 

 

Tip Perniagaan oleh Irfan Khairi - Tiada Idea Perniagaan?????


Usahawan Berjaya "Noraini's Cookies"

Assalamualaikum...

Alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat Illahi kerana kita masih dipanjangkan usia dengan sihat sejahtera. Dapat juga saya berkongsi berkaitan salah seorang usahawan wanita yang begitu saya kagumi. Bagi saya bukan senang untuk seorang wanita menjalankan tanggungjawabnya yang hakiki di samping terlibat dengan dunia perniagaan ini. Hanya wanita yang cekal, mempunyai daya usaha yang tinggi di samping minat yang mendalam sahaja mampu menghadapi setiap rintangan dan halangan dalam mencapai impian mereka untuk  bergelar usahawan berjaya. 

NORAINI AHMAD merupakan usahawan wanita yang saya maksudkan.
Syarikat beliau diberi nama Noraini's Enterprise.
Beliau merupakan anak kelahiran Sungai Manggis, Banting, Selangor.
Beliau mempunyai tiga orang anak dan berumur dalam lingkungan 50an.
 
 
 
Saya memilih beliau untuk dimasukkan di ruangan ini kerana Puan Noraini bukanlah insan biasa namun beliau merupakan usahawan contoh. Hal ini demikian kerana, beliau mempunyai idea-idea yang bernas sebagai usaha mengembang dan membangunkan perniagaan yang diusahakan dari semasa ke semasa. Kekuatan beliau bersandarkan minat dan juga kemahiran yang dimiliki beliau dalam bidang memasak. Beliau dilahirkan di dalam keluarga yang mempunyai kepakaran dalam memasak. Tambahan pula, beliau telah diterapkan dengan bidang masakan ini sejak di usia 8 tahun. Mungkin ada yang menganggap bidang masakan ini merupakan perkara biasa yang boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja namun sekiranya kita tahu menggunakan kepakaran yang dimiliki selain tidak mudah berputus asa seperti Puan Noraini, kita juga mampu menjadi seorang usahawan yang berjaya....
 
MENELUSURI KISAH PEMBABITAN NORAINI AHMAD DI DALAM DUNIA PERNIAGAAN
 
Puan Noraini telah mula berkecimpung di dalam dunia perniagaan seawal beliau masih bekerja biarpun secara kecil-kecilan. Pada ketika itu, beliau menjual kain ela dan pinggan mangkuk. Walau bagaimanapun, beliau nekad berhenti kerja disebabkan oleh ketiadaan pembantu rumah.  Namun begitu, beliau tidak betah untuk duduk diam sebaliknya beliau sentiasa tercari-cari kerja untuk dilakukan bagi mencari sumber pendapatan. Beliau mula membuat nasi lemak, bihun goreng dan kuih- muih untuk dijual di pejabat suami beliau.  Usaha beliau tidak sia-sia kerana seorang chef di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor meminta beliau membawa contoh kuih yang dibuat selepas salah seorang rakan suami beliau telah memberi rasa kuih tradisional yang dibuat oleh beliau kepada chef tersebut.
 
              Pada 1984, Syarikat yang diberi nama " Noraini;s Enterprise telah ditubuhkan dengan membekalkan kuih-muih kepada 14 buah hotel di sekitar Lembah Klang. Beliau telah mengambil 14 orang pekerja sewaktu itu dengan kawasan pengoperasian hanya di belakang rumah beliau. Setelah masuk tahun ke 10, timbul rasa penat dan pada masa yang sama beliau terpaksa menghadapi pelbagai kerenah pekerja tempatan dan pekerja asing. Beliau sentiasa berfikir jalan penyelesaian dengan mencari alternatif lain. Pada tahun 1992, beliau telah mengubah cara perniagaan dengan menjual kuih raya. Apabila melihat kepada perkembangan penjualan kuih raya yang amat memberansangkan, beliau telah mengajak empat orang pekerja untuk cuba membuat kuih muih itu sendiri. Beliau bermula dengan menghasilkan dua jenis biskut dan akhirnya terus mempelbagaikan biskut kerana mendapat tempat di hati pelanggan. Beliau lebih memilih untuk berhijrah kepada perniagaan berasaskan biskut kerana beliau sedar risiko yang besar terpaksa dihadapi kerana kuih basah tidak boleh diagak dari segi pengeluarannya serta tidak tahan lama. Beliau telah mendaftarkan "Noraini's Enterprise Sdn Bhd" bagi mengembangkan lagi perniagaan dengan memasarkan biskut ke pasaraya- pasaraya selain membina keyakinan pelanggan terhadap perniagaan beliau. Beliau turut  memasarkan biskut ke pasar malam dan pasar Ramadhan. Apabila gawat melanda negara, Puan Noraini telah beralih kepada penjualan kuih bahulu, kek dan tapak pertama mereka ialah di Angsana, Johor Bahru yakni pada akhir 1998, dengan menubuhkan "Noraini's Fresh Bake". Pada akhir 2000, beliau telah membuka tapak kedua di Plaza Masalam. Beliau telah mempelbagaikan  menu yang meliputi roti jala, aneka laksa, mee, nasi lemak dan akhirnya bertukar menjadi kafe kecil.

              Ternyata, Puan Noraini amat kreatif dalam membangunkan perniagaan kerana beliau telah mengilhamkan "Noraini's Laksa Paradise". Beliau telah menghasilkan 11 produk yang terdiri daripada asam pedas, kari ikan,sambal tumis, rending, aneka laksa, mee bandung dan mee kari. Beliau mengembangkan perniagaan ini dengan menghantar produk tersebut ke Jepun dengan membuat pengubahsuaian ke dalam bentuk pes kepada serbuk. Pada tahun 2004, Puan Noraini menubuhkan satu lagi syarikat yang diberi nama Noraini's Cookies Worldwide Sdn. Bhd. Tambahan lagi, beliau telah dipelawa oleh seorang ahli perniagaan dari Kazakhtan untuk membuka perniagaan hab halal di sana semasa beliau menyertai pameran Mihas 2006. Oleh itu, beliau telah menerima pelawaan tersebut setelah melihat kesungguhan dari pihak terbabit. Anak kedua beliau sanggup melepaskan bidang kejuruteraan komputer untuk menjalankan perniagaan di sana. Perniagaan beliau di sana amat memberangsangkan kerana telah mempunyai enam kilang di Kazakhtan iaitu yang menyediakan sosej, spaghetti, mee segera dan pizza. Anak pertama beliau juga mengikut langkah yang sama dengan meninggalkan bidang kedoktoran semata-mata untuk aktif dalam dunia perniagaan. Seterusnya, Puan Noraini tidak lekang dengan idea-idea perniagaan. Beliau telah menubuhkan Noraini's Farm House Sdn. Bhd. yang memberi fokus kepada pengeluaran produk rempah campuran. Perniagaan ini terus berkembang apabila beliau mempelbagaikan pengeluaran dengan mengusahakan lading seluas tiga ekar di Ijok yang ditanam dengan  serai, lengkuas dan banyak lagi. 
 
.............CABARAN.............

Kekuatan fizikal dan mental amat penting dalam menghadapi cabaran dan jatuh bangun dalam dunia perniagaan. Setiap individu yang menjalankan perniagaan tidak terlepas menhadapi jerih perih dalam membangunkan perniagaan sehingga mereka mencapai tahap yang diinginkan untuk bergelar usahawan berjaya. Kegawatan ekonomi  merupakan antara cabaran yang terpaksa dihadapi oleh  Puan Noraini. Ditambah pula apabila kontena biskut yang dihasilkannya tidak terjual...


Menurut Puan Noraini, dalam menjalankan perniagaan, kita perlu banyak bersabar, kreatif dan fokus dengan apa yang dilakukan, Soal modal bukanlah segala-galanya tetapi sekiranya seseorang itu mempunyai modal, itu merupakan bonus kepada mereka. Sentiasa memantapkan diri dengan ilmu-ilmu keusahawanan amat penting katanya.  
 

Tuesday 11 March 2014

Usahawan Kurma " YUSUF TAIYOB "

Assalamualaikum...

Hari ini saya ingin berkongsi tentang salah seorang usahawan yang berjaya dalam dunia perniagaan di Malaysia.  

 
 
"YUSUF TAIYOB"
 
Apabila mendengar "Yusuf Taiyob"  pasti setiap daripada kita sudah dapat membayangkan apa yang terkandung di sebalik perkataan tersebut. Saya pasti mesti sudah terlintas di benak fikiran kita buah kurma. Hal ini demikian kerana, YUSUF TAIYOB merupakan antara nama besar yang tidak asing lagi apabila dikaitkan dengan kurma.
 
Saya memilih untuk menulis berkaitan usahawan YUSUF TAIYOB ini kerana bagi saya pemilik nama ini mempunyai idea yang bernas dalam membangunkan perniagaannya sebagai pembekal terbesar pelbagai kurma dan produk mentah makanan kering serta basah dari luar negara. Bukan mudah untuk memulakan sesuatu perniagaan tambahan pula apabila melibatkan kerjasama dengan hampir 3,000 rangkaian pengedar di seluruh negara.
 
"Tidak Kenal Maka Tidak Tahu".
 
Nama sebenar beliau ialah Datuk Yusuf Taiyob. Beliau berasal dari Georgetown, Pulau Pinang. Usia beliau telah mencecah 50 an. Beliau merupakan anak sulung daripada empat beradik. Isteri beliau ialah Datin Yusnita Ramli. Selain itu, beliau mempunyai tiga orang anak  iaitu Waseem ( 9 tahun ), Safiya ( 6 tahun ) dan Safina yang berumur 3 tahun. Perniagaan beliau memfokuskan kepada perniagaan kurma, makanan dalam tin, rempah, makanan kering dan jus buah-buahan.
 
Datuk Yusuf telah menceburkan diri di dalam bidang perniagaan sejak di usia muda. Prinsip utama beliau ialah beliau tidak suka bekerja dengan orang lain kerana lebih berminat menjadi bos biarpun terpaksa mengharungi pelbagai cabaran dan raintangan yang mendatang. Kesungguhan yang diperlihatkan dalam membina tapak yang kukuh di dalam bidang perniagaan telah dapat dilihat menerusi rentetan hidup beliau. Beliau memulakan usahanya ini dengan menjual minyak wangi di Lapangan Terbang Bayan Lepas. Beliau telah mengadun sendiri minyak wangi tersebut semasa baru berumur 19 tahun. Pada masa tersebut, penerimaan terhadap minyak wangi itu amat memberansangkan. Namun, ibarat kata pepatah, 'langit tidak selalunya cerah'. Begitulah jua apa yang telah berlaku kepada Datuk Yusuf ketika waktu itu. Akibat tekanan yang dihadapi disebabkan penjualan minyak wangi yang jatuh merudum pada ketika itu, beliau telah jatuh sakit. Beliau telah muntah darah akibat pendarahan dalaman yang agak serius. Itulah merupakan cabaran getir di peringkat awal penglibatannya di dalam pernigaaan.
 
Selepas gagal dalam perniagaan minyak wangi, beliau beralih kepada pengedaran produk bunga saffron, biji gajus, makanan kering dan rempah. Namun begitu, beliau sentiasa mencari bentuk perniagaan baru sehinggalah terfikir untuk menjadi pembekal kurma di negara ini pada tahun1990.
Setiap perniagaan pasti ada pesaingnya, begitu jualah kepada perniagaan Datuk Yusuf Taiyob. Walau bagaimanapun, beliau tidak mudah melatah sebaliknya beliau mempersiapkan perniagaannya dengan mementingkan aspek harga dan jaminan kualiti produk yang dijual selain turut memiliki kelebihan dari segi pelanggan sedia ada. Beliau sentiasa memastikan perniagaannya dilengkapi dengan teknologi terkini. Beliau telah mengimport teknologi dari Amerika Syarikat bagi membolehkan sebarang kebocoran gas ammonia dapat dikesan lebih awal. Sistem yang dibeli oleh beliau ini mampu memberi amaran awal secara automatik sekiranya berlakunya kebocoran.

Selain memastikan teknologi terkini digunakan dalam pengeluaran produk, beliau juga sentiasa merancang bentuk jenis iklan yang ingin disiarkan setiap kali menjelang Ramadhan. Hal ini secara tidak langsung dapat mempromosikan kurma yang dikeluarkan oleh syarikat beliau. Dalam usaha membangunkan perniagaannya, beliau telah mengimport antara 200 hingga 300 pelbagai jenis makanan daripada buah kurma, minyak zaitun, kacang dhal hinggalah kepada rempah ratus dari kira-kira 30 negara. Antara negara tersebut ialah Amerika Syarikat, Iran, Dubai, Afrika Utara dan Arab Saudi. Di samping itu, beliau turut memastikan stok kurma mampu memenuhi
 permintaan pasaran. Hal ini demikian kerana, Yusuf Taiyob telah memesan dan menyimpan stok kurma tiga bulan lebih awal. Beliau mula memesan stok untuk menyambut Ramadan tahun depan sebaik sahaja musim perayaan tamat.

Syarikat YUSUF TAIYOB telah berjaya menembusi pasaran di Indonesia, Singapura, Thailand dan Brunei. Syarikat beliau telah mengambil masa antara 10 hingga 12 tahun untuk dikenali sebagai pembekal kurma di negara ini. Antara kurma yang diedar oleh beliau ialah Rotab Bam, Safia, Mariami, Safina, Ajwa, Jewel, Ajmal dan Anbara.Terdapat tiga peringkat kurma yang dijual iaitu khalal (kurma muda), rotab (kurma madu) dan thamar (kurma kering). Beliau memperolehnya dari negara Tunisia, Oman, Iran, Afrika Selatan, Arab Saudi, Mesir dan Jordon. Beliau turut mementingkan aspek kualiti kerana beliau amat mengutamakan kepuasan pelanggan. Oleh itu, beliau membuat penjenamaan dan teknik pembungkusan yang elok agar produk beliau dikenali oleh orang ramai.

Antara cabaran yang pernah dialami oleh beliau ialah apabila dua kontena seberat 40 tan kurma yang
diimport dari negara Iran tidak berapa elok. Jadi, beliau telah pergi ke Iran untuk menemui pengeluar kurma bagi memastikan perkara sama tidak berulang lagi.

Apa yang membuatkan saya kagum dengan usahawan ini ialah beliau tidak pernah melupakan tanggungjawab sosial. Menurut Datuk Yusuf, beliau tidak pernah lupa untuk memberi bantuan kepada golongan yang kurang bernasib baik walaupun sibuk menguruskan perniagaan.

Alhamdulillah.... selesai sudah bingkisan saya berkaitan usahawan yang saya pilih untuk kali ini...
Saya berharap kita sama-sama mendapat maklumat hasil daripada coretan saya ini...  

 
 
 
 
 
 

Saturday 1 March 2014

SALAM PERKENALAN....

Assalamualaikum dan salam sejahtera rakan-rakan pembaca...
Saya harap semuanya berada dalam keadaan sihat sejahtera dan ceria-ceria selalu...

Nama saya Siti Nur Atikah Binti Moktar
219792
 
Pertama sekali saya ingin mengucapkan selamat datang kepada rakan semua...
Marilah kita jadikan blog ini sebagai suatu medium untuk kita berkongsi ilmu agar kita semua mendapat manfaat daripadanya.
 
Salah satu tujuan utama penyediaan blog ini adalah untuk memenuhi sebahagian dari keperluan kursus  Kemahiran dan Gelagat Keusahawanan (BPME2013)  iaitu:

"LET'S BLOG"

Blog ini mengandungi artikel dan komen berkaitan 3 orang usahawan yang berjaya iaitu Datuk Yusuf Taiyob, Noraini Ahmad dan Tengku Rozidar Tengku Zainal Abidin. Saya turut memuatkan artikel-artikel yang melibatkan bidang keusahawanan agar kita sama-sama mendapat manfaat daripadanya...

 Perkongsian dan penyampaian ilmu itu amat bermakna buat kita semua :-)