Tuesday 18 March 2014

Noraini Cookies Bakal Mengembangkan Perniagaan Ke 3 Buah Negara Lagi

Noraini perluas pasaran eksport biskut
Nama Noraini tidaklah begitu menarik atau dengan kata mudah tiada nilai komersial untuk dijadikan sebuah jenama.

Namun, kepercayaan dan prinsip menjadikan jenama Noraini bualan di setiap bibir penggemar biskut Noraini’s sehingga ke hari ini.

“Saya percaya, saya juga boleh berjaya seperti orang lain. Saya tidak nampak kekurangan menggunakan nama sendiri yang dikatakan tiada nilai komersial. Malah saya yakin kejayaan pasti akan datang,” katanya.

Hampir 30 tahun dalam dunia perniagaan, Noraini yang terkenal dengan produk Noraini’s Cookies terus mengorak langkah dan bakal menerokai tiga negara lagi bagi pasaran eksport biskutnya iaitu Jepun, Jeddah dan Afrika.
“Sehingga ini kami mengeksport biskut ke 10 buah negara, antaranya Singapura, Brunei, China, Dubai, Papua New Guinea, Maldives, China dan Kemboja.

“Walaupun terdapat beberapa buah negara lain yang menawarkan minat terhadap produk kami, tumpuan hanya diberikan kepada syarikat yang benar-benar serius menjalinkan hubungan perniagaan,” katanya.

Selain daripada perniagaan biskut, Noraini turut perluaskan jenamanya dengan memperkenalkan beberapa produk lain termasuk bubur segera dan kopi dan pes masakan.


Tidak lokek bantu usahawan

Pengalaman, kejayaan dan jatuh bangunnya perniagaan diusahakan Noraini, turut dikongsi bersama usahawan yang lain.

Bahkan Noraini sentiasa mengalu-alukan mana-mana pihak yang memerlukan khidmat nasihatnya.

“Saya sentiasa mengadakan perbincangan mengenai perniagaan secara keseluruhannya, bertukar pendapat dan berkongsi pengalaman. Ada kalanya saya menjenguk perniagaan rakan lain yang memerlukan nasihat dan tunjuk ajar.

“Di sini (syarikat) saya juga menerima kunjungan lawatan dari pelajar sekolah, penuntut universiti juga kalangan profesional yang ingin berkongsi cerita perniagaan saya.

“Matlamat saya hanya satu, ingin membantu usahawan terutama golongan Bumiputera untuk sama-sama mengecap kejayaan,” katanya.
 

No comments:

Post a Comment