Tuesday 18 March 2014

Noraini Cookies Menjalinkan Kerjasama Dengan Koperasi

 
Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan..
 
Begitulah perniagaan yang diusahakan oleh Puan Noraini terus berkembang.
 
 
Produk makanan yang dikeluarkan oleh koperasi berpotensi untuk dikembangkan. Bagaimanapun untuk memastikan ia diterima beberapa aspek perlu dipertimbangkan terutama dari segi produk itu sendiri. Produk perlu berkualiti, kemasan dari segi pembungkusan, aspek pemasaran serta aspek pelabelan jangan dipandang ringan.

Jadi koperasi ingin terlibat menghasilkan barangan makanan, mereka perlu mempunyai pengetahuan mendalam mengenai produk yang dihasilkan. Itu yang diluahkan Pengarah Noraini Cookies Worldwide Sdn Bhd, Puan Noraini Ahmad.


Pada Hari Koperasi Negara (HKN) di Kedah tahun lalu, Noraini Cookies sudah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) untuk membekalkan biskut susu dan biskut coklat untuk Coop 1Malaysia. Majlis MoU itu turut disaksikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hasan Malek.

MoU itu ditandatangani antara Noraini Cookies dengan Koperasi Jaringan Sepadu Malaysia Berhad (KOJARIS). KOJARIS adalah salah sebuah koperasi yang mendapat sokongan kewangan daripada PEMANDU untuk mengeluarkan produk berjenama Coop 1Malaysia serta mengedarkan kepada pengguna menerusi Pusat Pengedaran (DC).

Noraini berkata, beliau berasa gembira kerana produknya akan diedarkan pada kedai Coop 1Malaysia dan berharap lebih banyak produk koperasi dapat dipasarkan di situ.

"Saya melihat institusi koperasi itu cukup baik. Saya juga bersedia mencurahkan ilmu mengenai penghasilan produk makanan sekiranya koperasi berminat," katanya ketika ditemui di kilangnya di Taman Pinggiran Subang, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Beliau sebenarnya memulakan perniagaan secara kecil-kecil. Ketika masih bekerja turut berniaga kain ela dan pinggan mangkuk. Selepas berhenti kerana ketiadaan pembantu rumah, Noraini tercari-cari kerja yang boleh dilakukan untuk mencari sumber pendapatan.

"Saya mula dengan membuat nasi lemak, bihun goreng dan kuih-muih untuk dibawa ke pejabat suami. Pada masa itu tidak terlintas langsung untuk berkembang pesat. Semuanya bermula selepas seorang teman suami memberi rasa kuih tradisional saya kepada seorang chef di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor. Selang beberapa hari, chef tersebut mahu saya bawa beberapa contoh kuih.

Pada 1984, Noraini Enterprise ditubuhkan dan syarikatnya membekalkan kuih-muih kepada 14 hotel sekitar Lembah Klang. Semua proses menghasilkan kuih pada masa itu dilakukan di belakang rumah dengan bantuan 14 pekerja," katanya.

Noraini berkata, beliau terbabit menjual kuih raya pada 1992. Tahun pertama, beliau sudah nampak pendapatan yang diperoleh tetapi apabila masuk tahun kedua, nampak ketidakmampuan menyiapkan tempahan yang diterima. Biskut yang dihasilkan mendapat sambutan baik. Bermula dengan dua biskut, lama-kelamaan berjenis-jenis biskut yang dihasilkan.

Mulai saat itulah saya berhijrah kepada bisnes biskut. Jadi untuk masuk ke pasar-pasar raya serta membina keyakinan pelanggan diwujudkan syarikat dan Noraini Cookies mula bekalkan beberapa jenis biskut kepada pasar raya, pasar malam dan pasar Ramadan.

Bila kegawatan melanda negara, Noraini beralih menjual kuih baulu, kek dan kedai pertamanya ialah di Angsana, Johor Bahru. Untuk memasuki pasaran yang lebih besar, pada 2004 ditubuhkan Noraini Cookies Worldwide Sdn Bhd.

Beliau gembira kerana ahli keluarganya banyak terbabit dalam perniagaan Noraini Cookies. Tugasnya sekarang mencari pasaran dan terbaru produk keluarannya bakal dipasarkan di Mekah.

"Saya melihat pasaran di Mekah itu cukup besar. Selama ini banyak produk makanan dari negara jiran yang memasuki Mekah. Saya juga berharap produk koperasi dapat dipasarkan ke sana," katanya yang pernah memasarkan produknya ke negara China.

Selain biskut, produk terbaru Noraini Cookies yang diterima ramai ialah nasi bubur.
 

No comments:

Post a Comment