Tuesday 15 April 2014

Membawa Perkhidmatan ONLINE ke pasaran OFFLINE


Menyediakan Perkhidmatan Adalah Bidang Yang Laris!

Artikel kali ini akan menfokuskan kepada usahawan online yang menyediakan perkhidmatan berkaitan pembangunan web dan pemasaran online, iaitu seperti :
  • Perkhidmatan membuat laman web.
  • Perkhidmatan membuat blog.
  • Perkidmatan membuat kedai online.
  • Perkhidmatan membuat design grafik.
  • Perkhidmatan membuat video.
  • Perkhidmatan membuat kerja-kerja SEO.
  • Perkhidmatan runingan consultant untuk pemasaran online.
  • … dan sebagainya.

Menyediakan perkhidmatan online merupakan salah satu cara menjana pendapatan selain daripada menjual barangan fizikal dan ebook. Pilihan ini sesuai untuk mereka yang ada kemahiran dalam bidang masing-masing, seperti kemahiran design, kemahiran membuat video dan sebagainya.
Sebagai contoh, seorang designer akan menggunakan kepakarannya untuk mereka bentuk laman web yang cantik, menyusun layout grafik salesletter, mendesign cover sesebuah ebook dan mungkin menyediakan perkhidmatan design iklan banner.


Menyediakan Perkhidmatan Adalah Industri Yang Cukup Tinggi Permintaannya

Sebagaimana yang diketahui, seorang peniaga online sentiasa memerlukan laman web yang baru bagi projek perniagaan baru yang diusahakannya. Sebagai contoh, dalam melancarkan sesebuah ebook di internet, beliau memerlukan :

(1) perkhidmatan dari yang pakar dalam penulisan copywriting untuk melonjakkan jualan ebooknya,
(2) perkhidmatan design grafik mengagumkan untuk laman webnya,
(3) sistem borang dan affiliate yang dipasang lengkap untuk sistem jualannya,
(4) memerlukan pakar memasang aplikasi canggih seperti popup dan pemasangan borang optin.
dan sebagainya.

Pendek kata, dengan satu projek sahaja yang seorang usahawan online ingin jalankan, beliau akan mengupah 2-5 orang penyedia perkhidmatan demi memastikan hasil terbaik untuk projek tersebut.

Perkhidmatan adalah salah satu cabang bisnes yang cukup dikehendaki ramai pihak dan sentiasa laris di kalangan usahawan. Jika para penyedia servis ini sentiasa konsisten menjaga kualiti perkhidmatan dalam menyiapkan tempahan para pelanggan, maka tidak mustahil penyedia servis sebegini akan memiliki ramai pelanggan tetap yang akan terus menerus membuat tempahan demi tempahan sepanjang masa.

Ia bisnes perkhidmatan yang amat menakjubkan.

Di Malaysia, ramai penyedia perkhidmatan ini hanya menyediakannya kepada para pelanggan online, menerima tempahan hanya secara online dan mempromosi perkhidmatan mereka melalui teknik pemasaran online sahaja

Namun begitu, perkhidmatan sebegini, sebenarnya.. boleh dibawa ke dunia offline. Nak tahu bagaimana? Teruskan pembacaan.


Berfikir Lebih Jauh – Iaitu Masuk Ke Pasaran Offline

Bagi mereka yang baru dalam bidang penyediaan servis perniagaan online sebegini, atau mereka yang mahu meramaikan lagi para pelanggan mereka, mereka boleh berfikir dengan lebih jauh ke hadapan.

Jika selama ini mungkin ramai usahawan dan pakar perkhidmatan yang sentiasa mencari pelanggan secara online, apa kata jika mereka mencuba pula untuk mempromosikan perkhidmatan mereka secara offline?

Apa Itu Dunia Offline?

Dunia offline yang saya maksudkan disini adalah perniagaan konvensional, di dunia sebenar, seperti peniaga runcit, pemilik syarikat percetakan dan pemilik kilang, yang mana, mereka ini menjalankan perniagaan di alam realiti (offline). Dengan makna kata lain, para usahawan yang menyediakan perkhidmatan ini, boleh mempromosikan perkhidmatan mereka, kepada para pelanggan offline.

Sudah tentu cara pemasarannya adalah dengan cara offline juga, sama ada dengan mengadakan rundingan bersemuka, pemasaran melalui telefon, melalui networking dengan usahawan-usahawan lain dan sebagainya.

Kenapa Dunia Pasaran Offline?
 
Menurut satu statistik kasar, boleh dikatakan 75% daripada usahawan industri kecil tidak memiliki laman web sendiri. Ini menunjukkan pasaran di luar dunia online adalah amat besar.
 
Jika diceritakan tentang cabaran jenis pasaran ini, ia sedikit berbeza. Cabarannya adalah ketika menerangkan kepada para pelanggan offline akan kepentingan memiliki laman web sendiri, memahamkan kepentingan mendapatkan perkhidmatan menaikkan SEO laman web mereka, menyedarkan mereka akan kelebihan mendapatkan design terbaik untuk laman web mereka dan memberitahu mereka tentang potensi jualan akan meningkat jika diperbaiki copywriting pada web perniagaan.
 
Malah, pemilik kedai-kedai, syarikat-syarikat di luar sana dan kilang-kilang, mereka mempunyai bajet yang lebih besar dalam bab pemasaran. Secara ringkasnya, dunia offline penuh dengan potensi pelanggan yang mahu mempromosikan perniagaan mereka ke dunia online.
 
Sesetengah usahawan offline di luar sana bukanlah tidak mahu mempromosikan perniagaan mereka ke dunia online, tetapi mungkin kerana mereka tidak faham bagaimana besarnya potensi perniagaan online dan mungkin juga kerana mereka tidak tahu siapa untuk dirujuk dalam mendapatkan nasihat perniagaan online.
 
Untuk itu, kita perlu belajar untuk mula mempromosikan perniagaan kita ke luar sana, bukan sekadar kepada usahawan online sebagaimana yang dilakukan oleh sebahagian penyedia servis di Malaysia.

Kisah Kejayaan Dari Pemasaran Offline
 
Pernah diceritakan kepada penulis bagaimana kerja-kerja Optimasi Enjin Carian (Search Engine Optimization) boleh mencecah caj RM5,000 sehingga RM10,000 bagi kata-kata kunci yang para pelanggan sangat ingini untuk dioptimasikan.

Malah penulis sendiri pernah menemui seorang consultant yang menawarkan nasihat dan perkhidmatan rundingan dalam SEO dengan kos hampir RM20,000!
 
Di samping itu, ada juga kajian kes di mana ada pihak pembuat aplikasi menerima gaji bulanan sebagai penjaga server online, setelah membuat pertemuan secara bersemuka (offline) dengan para pemilik perniagaan yang lain. Ini hanyalah cebisan kecil dari kisah-kisah kejayaan usahawan perkhidmatan online yang dipromosi kepada para usahawan offline di luar sana.
 

Bagaimana Menyertai Pasaran Offline?
 
Bagaimana untuk mendapatkan para pelanggan offline? Di sini diselitkan beberapa tips dan panduan dalam menjalankan perniagaan secara offline bagi mereka yang menyediakan perkhidmatan pembangunan web, pemasaran online dan yang sama waktu dengannya.
 
  1. Daftar syarikat sendiri dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Pendaftaran sebagai sebuah syarikat akan lebih meyakinkan pelanggan dan memastikan gerak kerja perniagaan kelihatan lebih tersusun dan professional. Yurannya tidak sampai RM80 setahun, dan boleh diperbaharui lebih daripada 1 tahun.
  2. Miliki business card sendiri kerana ketika membina networking dengan usahawan-usahawan lain dan ketika berunding dengan bakal-bakal pelanggan, memiliki kad bisnes adalah sangat penting bagi memudahkan mereka menghubungi kita. Untuk lebih menarik perhatian, pastikan business card yang direka adalah simple, mudah dibaca dan hanya mempunyai maklumat-maklumat penting sahaja. Untuk mendapatkan seorang pelanggan, business card perlu diberikan beberapa kali sebelum pelanggan tersebut berminat untuk menempah dengan kita para penyedia perkhidmatan.
Tahu cara berunding dan tidak gentar untuk ‘close deal’ demi mendapatkan keyakinan pelanggan. Cara pemakaian, cara bercakap dan cara mempersembahkan portfolio bisnes perlulah kena pada cara dan tersusun baik agar ia membina kepercayaan pelanggan kepada perkhidmatan yang kita tawarkan.

Aspek Positif dan Negatif

Secara positifnya, ia memberikan rezeki yang lumayan kepada penyedia servis SEO ini kerana bayaran yang sangat mahal di atas tanggungjawab yang besar bagi sesetengah tempahan. Namun, secara lebih mendalam, jika difahami risikonya, penyedia servis ini tidak boleh bermain-main dalam menyiapkannya dan mungkin memerlukan pengorbanan masa yang amat tinggi. Maka dinasihatkan agar penyedia servis yang menerima tugasan besar dan tempahan mega, agar melakukan secara berkumpulan dan mungkin perlunya membentuk sebuah pasukan utuh sesama usahawan online yang lain dalam menyiapkannya.
 
Walaupun tidak selalunya akan ada pelanggan yang akan berbelanja besar untuk pemasaran online, namun ia bergantung kepada rezeki dan sejauh mana kita mempunyai network dengan orang lain dan usahawan lain. Ia juga bergantung kepada sejauh mana kita berusaha mempromosi perkhidmatan kepada para pemilik perniagaan offline di luar sana.

Yang penting, artikel ini mahu membuka mata para usahawan online yang menyediakan perkhidmatan berkaitan laman web dan kerja-kerja pemasaran ~ bahawa sebenarnya daerah pemasaran dan skop sasaran pelanggan adalah lebih luas dan bukan sekadar di dunia maya.

Sumber:
http://www.wangcyber.com/membawa-perkhidmatan-online-ke-pasaran-offline/#ixzz2ywxxftzW

No comments:

Post a Comment