Monday 14 April 2014

MEMBENTUK EKOSISTEM PERNIAGAAN BAHARU

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

PELBAGAI dasar ekonomi dan pelan transformasi dilaksanakan kerajaan bagi meletakkan Malaysia di landasan betul untuk menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.
Yang menjadi kebimbangan kini adalah sama ada status negara berpendapatan tinggi itu kelak manfaatnya bakal dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat atau hanya oleh segolongan sahaja.
Hakikatnya, majoriti tenaga kerja di dalam negara masih berpendapatan RM3,000 ke bawah yang dikategorikan sebagai golongan sederhana atau rendah.

Menyedari hakikat ini, kerajaan sedang menggerakkan pelbagai usaha untuk meningkatkan taraf pendapatan rakyat.
Salah satu daripadanya ialah memberikan tumpuan secara besar-besaran terhadap pembangunan usahawan bumiputera yang masih ketinggalan berbanding kaum-kaum lain di negara ini.
Antaranya menerusi Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (Superb), penubuhan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) dan memperkenalkan program 1Malaysia Entrepreneurs (1MeT) bagi golongan muda.

Inisiatif kerajaan membentuk Pelan Pembangunan Usahawan di bawah Kementerian Kewangan juga pasti menggalakkan lebih banyak penyertaan usahawan bumiputera dalam bidang berkenaan.
Pelan tersebut dibentuk secara komprehensif termasuk mendapatkan input daripada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan.

Menurut Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah, golongan yang berusia 40 tahun ke bawah disasarkan memandangkan masa depan negara bergantung kepada mereka.
Justeru kata beliau, dalam tempoh lima tahun akan datang, kerajaan berhasrat memperbanyakkan lagi usahawan muda di negara ini bagi membantu mereka meraih pendapatan tinggi melalui perniagaan.
Bagi menyokong usaha itu, jelas beliau, kerjasama antara syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) dan NGO usahawan muda juga perlu dipertingkatkan termasuk dengan mewujudkan lebih banyak ruang interaksi antara kedua-dua belah pihak.
"NGO usahawan muda harus bekerjasama dengan kerajaan. Sebab itu bila kita merangka Pelan Pembangunan Usahawan, kita membawa semua NGO seperti Pertubuhan Usahawan Generasi Muda Berjaya (GMB) Malaysia.
"Mereka ialah golongan yang bergerak sendiri untuk memajukan usahawan. Input-input daripada merekalah yang akan menjadi strategi dan dasar kerajaan pada masa datang,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di Hulu Langat baru-baru ini.

Berikutan itu, penganjuran Kongres Usahawan Muda Bumiputera (KUMB) selama tiga hari bermula esok dilihat amat bertepatan dengan usaha memperkasakan agenda ekonomi usahawan muda bumiputera.
Kongres bertemakan Ekonomi Satukan Kita anjuran GMB Malaysia bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu menetapkan misi untuk menambah nilai usahawan muda sedia ada di dalam aspek akses kepada pasaran, kewangan dan pembinaan kapasiti.

Selain itu, KUMB bertujuan mengukuhkan pembangunan kapasiti pengusaha muda Malaysia sebagai pengeksport yang berdaya saing di pasaran antarabangsa.
Penganjurannya juga sebagai satu platform bagi usahawan muda berkongsi maklumat, pendapat serta menjalin jaringan perniagaan.
Seramai 2,000 usahawan muda bumiputera dijangka menyertai kongres tersebut di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade (MECC).

Pengisian KUMB melibatkan beberapa konsep dan segmen penting seperti taklimat keusahawanan, pameran, jaringan perniagaan serta majlis makan malam.
Empat komponen utama konges itu ialah Town Hall berkonsepkan Parlimen dengan slot khas untuk usahawan berdasarkan peraturan giliran seperti prosiding dalam Parlimen.
Kongres berkenaan turut dimantapkan dengan program ‘Tajaan Agensi dan Kementerian’ (Quick Wins) iaitu kerjasama agensi kerajaan serta kementerian untuk menaja usahawan-usahawan dipilih mengikut industri di bawah agensi yang telah mempunyai program sedia ada atau baharu.

Segmen ketiga adalah pameran 200 gerai melibatkan tiga kelas usahawan iaitu sedia eksport, tempatan dan mikro. Gerai-gerai antaranya mempamerkan pelbagai industri kecil dan sederhana, industri makanan dan minuman, gaya hidup dan fesyen, teknologi maklumat dan inovasi, elektrik dan elektronik, industri kreatif serta perkhidmatan.
Kongres julung kali itu juga akan mengenal pasti golongan 100 teratas usahawan muda bumiputera berdasarkan inovasi, pencapaian dan kejayaan dalam menjalankan perniagaan mereka menerusi Anugerah Usahawan Muda GMB-Utusan 2014.

Kira-kira 25 kementerian dan agensi terlibat dalam KUMB antaranya Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Padi Beras Nasional Berhad (Bernas).

Dalam pada itu, Presiden GMB Malaysia, Agil Faisal Ahmad Fadzil berkata, KUMB diadakan sebagai satu wadah bagi usahawan muda mencerna landskap ekosistem perniagaan baharu.
Katanya, kongres berkenaan juga membolehkan perkongsian maklumat dengan kerajaan mengenai kekangan dan keperluan generasi usahawan muda bumiputera.
"Menerusi siri jelajah KUMB ke seluruh negara, kami telah bertemu kira-kira 3,000 usahawan dan menerima lebih 700 usul daripada mereka yang kemudian dikategorikan kepada 30 usul mengikut isu-isu tertentu,’’ katanya.

Menurut Agil Faisal, apa ingin dilakukan menerusi kongres tersebut ialah mencadangkan kepada kerajaan beberapa perkara yang boleh membantu menyelesaikan masalah usahawan muda bumiputera untuk berkembang dan melangkah lebih jauh dalam perniagaan mereka.

Lima perkara utama ditimbulkan oleh para usahawan iaitu isu birokrasi, kurang akses maklumat, pembangunan kapasiti, masalah pemasaran dalam dan luar negara serta akses kepada kewangan.

"Berdasarkan lima perkara utama ini, kita akan merungkai dan mencadangkan program yang bertepatan bagi membantu mereka," ujarnya.

 Artikel Penuh: http://ww3.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140326/re_05/Membentuk-ekosistem-perniagaan-baharu#ixzz2yqaYbA6i
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment